Setelah lapan minggu bersiaran, minggu akhir ‘Pencarian Dewi Remaja 2018/2018’ menobatkan HANEESYA HANEE sebagai Dewi Remaja 2018/2019. Pengumuman rasmi keputusan akhir ini disiarkan secara langsung dan eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula jam 10.30 malam tadi.
Selain HANEESYA (18, Kuala Lumpur), turut bersaing di pentas akhir pada malam tersebut ialah RANIA (19, Kuala Lumpur), TIA SARAH (18, Selangor), ANNA JOBLING (18, Kuala Lumpur) dan SHERIN (23, Selangor).
Sementara itu, Tia Sarah membawa pulang tempat kedua, manakala Sherin berjaya menempatkan diri ke tangga ketiga.
Malam final ini dimulakan dengan sesi perkenalan 12 orang finalis Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 yang diserikan bersama koreografi tarian.
Persembahan video Public Service Announcement (PSA) selama 30 saat menjadi tugasan pertama buat lima finalis akhir pada malam tersebut. Tugasan yang telah diberikan lebih awal ini berkisar dengan masalah sosial masyarakat hari ini.
Sesi Q&A yang diutarakan oleh pengacara, Scha Alyahya menjadi kemuncak tugasan buat mereka. Peserta perlu menjawab soalan secara spontan di hadapan juri tetap, Dato’ Hans Isaac serta juri jemputan, Datuk Aznil Haji Nawawi dan Neelofa.
Aura dan kepetahan Haneesya sepanjang lapan minggu telah berjaya mengangkat beliau sebagai Dewi Remaja 2018/2019 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 10,000.
Pihak pengajur juga turut menobatkan Arena Iman sebagai Dewi Favorite hasil undian peminat secara online dengan menerima sebanyak 34,890 undian. Seorang lagi finalis, Aween Ismail turut dipilih sebagai Dewi Inspirasi kerana semangat yang ditonjolkan sepanjang rakaman episod dewi remaja walaupun berhadapan masalah kesihatan.
Malam final Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada artis terkenal, Noryn Aziz dan Hael Husaini.
Bagi yang terlepas mengikuti apa yang berlaku sepanjang Pencarian Dewi Remaja 2018/2019, kunjungi laman web www.remaja.my/dewi, Facebook [@majalahremaja] dan Instagram [@majalahremaja].