Ideaktiv Umum Trafik Digital Melonjak Naik Ketika PKP

SHAH ALAM – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usahasama Astro Malaysia dan Kumpulan Media Karangkraf, melihat peningkatan jumlah trafik keseluruhan bagi laman-laman web di bawah naungan syarikat ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan hampir sebulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim memberitahu, laman web Ideaktiv seperti Mingguan Wanita, Rasa, Pa&Ma, Remaja, Nona dan 10 lagi media lain, mencapai jumlah trafik keseluruhan 26 juta pengunjung, iaitu kenaikan lebih 10% berbanding bulan sebelumnya.

“Tempoh PKP ini menunjukkan lebih ramai orang ingin mendapatkan maklumat dan kandungan bermanfaat bukan sahaja tentang berita Covid-19, tetapi juga kandungan yang boleh membantu mereka duduk di rumah dan berhubung bersama keluarga.”

“Pada awal minggu PKP, ramai yang mencari berita dan maklumat mengenai Covid-19, namun kini kami melihat orang ramai mula mendapatkan kandungan memasak, menghias rumah dan juga penjagaan diri serta keluarga seperti mana yang disediakan oleh laman-laman web Ideaktiv.”

“Tenaga kerja kami akan terus menyuntik semangat positif dalam diri setiap pembaca. Kami ingin memberitahu rakyat Malaysia #JanganPutusAsa. Banyak perkara yang boleh kita positifkan dan kami akan terus komited menyediakan kandungan berguna buat semua pembaca,” katanya.

Selain laman web, Ideaktiv juga melihat peningkatan dalam konsuminasi kandungan di laman sosial. Jumlah pengikut melebihi 15 juta orang kini dilihat cenderung kepada kandungan berbentuk video dan penstriman live.

Mengambil peluang tersebut, Ideaktiv memperkenalkan kandungan penstriman live #ChillJer yang membolehkan orang ramai berinteraksi secara terus dengan editor dan wartawan serta tetamu jemputan yang dibuat secara panggilan sidang dan juga live di Instagram dan Facebook.

Orang ramai boleh belajar memasak, solekan, celoteh bersama selebriti dan juga berinteraksi terus dengan doktor dan panel jemputan bertauliah dengan keselesaan di rumah sendiri.

“Dalam tempoh ini semua orang harus lebih produktif dan memainkan peranan masing-masing. Kekal positif dan bersama berdoa semoga pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi,” ujar Syamil.