Assalamualaikum wrh. wbt.
Terlebih dahulu, kami di Majalah Remaja mewakili penganjur dan pemilik jenama pencarian Dewi Remaja 2018/2019, Nu Ideaktiv Sdn Bhd berterima kasih kepada kesemua rakan media yang telah menyiarkan perkembangan berita secara positif sejurus berakhirnya malam finale, pada Ahad lalu. Kerjasama dan sokongan anda terhadap pencarian edisi kesepuluh ini amat kami hargai.
Susulan isu penyebaran video tular di media sosial dan portal sejak Isnin lalu yang melibatkan juara Dewi Remaja 2018/2019, Sharifah Haneesya Binti Syed Sahlan dan 2 lagi orang finalis iaitu Fazreen Fazeera Faizni Binti Faizul dan Erni Nurshahira Binti Khairul Nizam (Ernisha), kami terpaksa melakukan siasatan ke atas dakwaan yang dilemparkan.
Semalam, satu sesi sidang media telah kami lakukan bersama rakan media di Nu Ideaktiv Sdn Bhd bagi menjelaskan situasi dan implikasi sebenar agar tiada lagi spekulasi liar dilontar secara melulu. Turut berada bersama kami ialah Haneesya Hanee dan pemenang tempat kedua, Tia Sarah. Sidang media tersebut turut mendapat liputan secara langsung menerusi laman Facebook Majalah Remaja.
Menurut Editor Majalah Remaja, Faiz Aimman yang mewakili pihak penganjur, keputusan penarikan semula gelaran Dewi Remaja 2018/2019 terpaksa diambil berikutan pelanggaran kontrak yang telah dipersetujui dan ditanda tangani oleh kesemua para peserta pada peringkat awal pencarian, sejurus 12 orang finalis dipilih pada 31 Oktober 2018.
Melalui kontrak tersebut, termaktub klausa terma dan syarat yang melarang para peserta daripada berkelakuan kurang sopan, tidak senonoh atau melakukan apa jua perbuatan dan membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti dan reputasi penganjur, pemilik jenama pencarian Dewi Remaja dan mencemarkan reputasi peserta itu sendiri.
Siasatan mendapati insiden tersebut berlaku semasa para peserta masih berada dalam peringkat pertandingan sekitar Disember 2018 dan tindakan sewajarnya perlu diambil memandangkan syarat yang ditetapkan oleh penganjur telahpun dilanggar.
Hal demikian, Haneesya Hanee telah memulangkan semula gelaran yang dimilikinya, kesemua hadiah yang dimenangi dan dia tidak dibenarkan untuk mengguna gelaran selaku juara mahupun finalis pencarian Dewi Remaja 2018/2019 pada masa akan datang.
Implikasi yang sama juga dikenakan ke atas finalis Fazreen Fazera dan Ernisha di mana mereka tidak dibenarkan mengaitkan diri sebagai finalis pencarian Dewi Remaja 2018/2019.
Dalam kenyataan rasmi semasa berlangsungnya sidang media tersebut, Haneesya meluahkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku.
“Saya menerima keputusan pihak Nu Ideaktiv Sdn Bhd untuk menarik balik gelaran yang telah saya menangi. Sebagai peserta Dewi Remaja 2018/2019, saya sedar tindakan saya adalah salah dan telah mencemarkan reputasi pertandingan ini.
“Insiden ini adalah pengajaran terbaik untuk saya jadikan panduan pada masa hadapan. Saya sedar bahawa saya tersalah membuat pertimbangan ketika itu dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang terjadi.
“Pada kesempatan ini, saya berharap agar saya diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri dan bertekad untuk menjadi seorang yang lebih baik di masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, persoalan mengapa pemenang tempat ketiga iaitu Sherin Amiri Binti Karim Amiri tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun turut dilihat berada di dalam video tular itu juga dijawab oleh pihak penganjur.
“Hasil siasatan mendapati Sherin Amiri tidak terlibat dalam perancangan yang dilakukan oleh 3 lagi orang finalis tersebut. Dia hanya sekadar singgah sebentar kerana berada sekitar kawasan berkenaan dan terus beredar sejurus bertegur dengan finalis lain. Oleh itu, kami berharap agar sebarang spekulasi mengenai keberadaannya di situ dapat dihentikan.”
***
TIADA JUARA DEWI REMAJA 2018/2019
Walaupun gelaran ditarik semula daripada Haneesya Hanee, pihak penganjur memutuskan untuk tidak memahkotakan gelaran tersebut kepada mana-mana finalis yang lain. Ia berikutan Haneesya Hanee secara kompetitif telahpun menjuarai malam finale lalu dan kemenangan itu tidak disangkal oleh pihak penganjur.
Tia Sarah kekal menyandang gelaran Pemenang Tempat Kedua, Sherin Amiri sebagai Pemenang Tempat Ketiga, Aween Ismail sebagai Dewi Inspirasi dan Arena Iman sebagai Dewi Favourite.
Tia Sarah bersama 3 lagi finalis tersebut akan mewakili pencarian Dewi Remaja 2018/2019 dalam mana-mana aktiviti dan promosi yang bakal dilakukan pada masa akan datang. Gelaran Dewi Remaja hanya akan dimahkotakan pada edisi kesebelas kelak.
Sekian, terima kasih.
#dewiremaja #dewi1819