
KONGSI KASIH, rancangan yang berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia, kini kembali dengan musim baharu iaitu “Kongsi Kasih Jejak Jalanan”. Kali ini, Kongsi Kasih menjalinkan kerjasama bersama Perfume Paradise, membawa makna yang lebih mendalam dalam berkongsi cerita-cerita inspirasi dan keprihatinan, khususnya sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.
Sempena pelancaran rasmi musim baharu ini, ia dimulakan dengan aktiviti istimewa bertempat di Astro Bukit Jalil dan Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan. Acara ini turut dihadiri oleh rakan media, selebriti, dan pasukan pengurusan daripada Nu Ideaktiv serta Perfume Paradise, bersatu melancarkan musim baharu yang dipenuhi keindahan kasih sayang.
Wangian Simbolik Perasmian
Majlis perasmian penuh simbolik di perkarangan Astro Bukit Jalil, di mana para VIP termasuk pengurusan tertinggi Perfume Paradise dan Nu Ideaktiv menyembur wangian Perfume Paradise melambangkan misi menyebarkan “kasih” dan memberikan harapan baharu kepada mereka yang memerlukan.
Seterusnya konvoi Kongsi Kasih Jejak Jalanan kemudiannya bergerak ke Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di mana aktiviti utama melibatkan pengagihan pek makanan tengah hari dan kit kebersihan kepada komuniti gelandangan di pusat berkenaan.
Musim Terbaharu Kongsi Kasih Jejak Jalanan Lebih Segar
Musim terbaharu Kongsi Kasih Jejak Jalanan akan bersiaran di Astro Prima, bermula 14 Februari 2025 jam 7 malam dengan jumlah 7 episod berdurasi 30 minit setiap satu dan 1 episod berdurasi 60 minit bagi menutup musim dengan pengisian istimewa sempena bulan Syawal dan perayaan Aidilfitri.
Diterajui oleh hos popular Hazeman Huzir dan disertai oleh Abbe Hae dari Pertubuhan Jejak Jalanan, rancangan ini membawa cerita-cerita inspirasi daripada komuniti yang pelbagai di seluruh Malaysia.
Fokus musim ini termasuk membantu gelandangan, ibu tunggal, warga emas, serta keluarga yang terjejas akibat bencana. Setiap episod menyeru rakyat Malaysia untuk menghargai nilai empati, kebaikan, dan berkongsi kasih, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Menurut Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, sebagai penerbit kandungan dan juara suara komuniti, Nu Ideaktiv berasa bertanggungjawab untuk membawa kisah-kisah mereka yang memerlukan ke ruang yang boleh dilihat dan didengari oleh rakyat Malaysia.
“Kisah-kisah ini datang daripada pelbagai komuniti yang kami dengar setiap hari melalui interaksi dengan masyarakat. Harapan kami adalah agar cerita-cerita ini membuka mata dan hati rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulurkan bantuan”.
“Kehadiran Perfume Paradise sebagai rakan kongsi dalam Kongsi Kasih Jejak Jalanan memberi kami lebih kegembiraan kerana ia melambangkan bagaimana sebuah jenama boleh turut serta mengangkat kisah-kisah ini dan membantu mereka yang memerlukan. Dengan Perfume Paradise, kami melihat harapan baharu untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti ini.”
Menyahut kebaikan kerja-kerja kebajikan dalam dunia bisnes, Nur Afiqah Amran, Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise berkata satu penghormatan untuk jenama Perfume Paradise menjadi sebahagian daripada program Kongsi Kasih Jejak Jalanan.
Spray Sekali, Wangi 3 Hari!
Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh bapa kepada Nur Afiqah Binti Amran, Perfume Paradise bermula sebagai perniagaan keluarga dengan matlamat menghasilkan wangian berkualiti mewah pada harga mampu milik. Selepas beberapa tahun, jenama ini mencapai satu titik perubahan penting apabila Nur Afiqah Binti Amran mengambil alih pengurusan.
Di bawah kepimpinannya, Perfume Paradise berkembang pesat dan berjaya membina reputasi sebagai jenama yang dipercayai di Malaysia. Kini, Perfume Paradise telah menjadi pilihan utama pengguna dengan dua rangkaian produk utama berharga RM10 dan RM40.