MAJLIS TAKLIMAT SINERGI MEDIA MALAYSIA #QURANHOUR 2024

KERJASAMA RAKAN SINERGI MEDIA DAN RAKAN STRATEGI DI MALAYSIA #QURANHOUR 2024

SHAH ALAM: Kini genap sedekad, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berkolaborasi bersama para pengamal media cetak, penyiaran dan digital dan rakan strategik untuk membawakan gelombang Malaysia #QuranHour 1446H/2024 pada Majlis Taklimat Sinergi Media, di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, di sini, 7 Ogos 2024.

Malaysia #QuranHour kali ke 10 ini bertemakan “Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara” dengan berpandukan Surah al-Jumu’ah dan Surah al-Hujurat dengan tujuan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat melalui penghayatan Rukun Negara dan nilai-nilai murni dalam al-Quran dan Sunnah.

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan serentak di seluruh negara dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada pukul 10 pagi hingga 11 pagi, 30 Ogos 20204.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, kerjasama dengan pelbagai organisasi telah menjadi tulang belakang kejayaan program ini. Penglibatan dari agensi media, kerajaan, korporat, NGO dan institusi pendidikan dalam menggelombangkan #QuranHour telah membuktikan komitmen dalam penyatuan rakyat.

“Penyatuan media dengan al-Quran bermula 2015 hingga kini, kempen #QuranHour iaitu World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour telah mencatatkan keseluruhannya 7.3 bilion capaian sosial dan 76 negara.”

Antara wakil media seperti Astro Oasis, TV Alhijrah, TV9, Astro Awani, RTM, Bernama, Utusan TV, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Media Prima, New Straits Times Press (NSTP), Zayan FM dan Denaihati.com.

Sementara itu, RTM sebagai penyiar utama mengalu-alukan semua rakan media untuk mengambil “live feed” Malaysia #QuranHour untuk bersiaran serentak pada hari tersebut.

Malaysia #QuranHour dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama daripada rakan sinergi termasuk Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Rasuah Buster, Karya Bestari, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Malaysia #QuranHour yang bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara  membawa maksud bebas daripada perhambaan terhadap sesama manusia kepada perhambaan terhadap sesama manusia kepada perhambaan kepada ALLAH SWT; bebas daripada kesempitan dunia kepada keluasannya; bebas daripada kezaliman kepada keadilan Islam (rujukan Kitab Al-Bidayah Wa Al-Nihayah).

Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Sekiranya rakyat faham makna Rukun Negara dan mengamalkannya, ia mampu mencapai kemakmuran negara.

Tiga golongan iaitu Ulama, Umara, dan Ummah (3U) memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan negara. Peranan ulama menyebarkan ilmu dan panduan moral; Umara’ – Memimpin dengan adil dan bertanggungjawab; dan Ummah – Menjalin silaturahim dan menyokong perpaduan.

Surah Al-Jumu’ah menjadi panduan dan solusi umum untuk mengangkat nilai-nilai murni dalam agama Islam sebagai agama Persekutuan. Manakala Surah Al-Hujurat yang disinonimkan dengan al-akhlak wal adab (akhlak dan adab) menjadi panduan dan solusi kepada permasalahan tersebut dan Sunnah Rasulullah SAW membina akhlak dan peradaban diri perlu direalisasikan untuk mencapai kesejahteraan rakyat dan negara.

Misi Malaysia #QuranHour 2024 bertujuan membentuk perpaduan dan kesatuan hati melalui kefahaman nilai keimanan yang sempurna, selaras dengan hadis Rasulullah SAW, “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya” (HR Tirmizi No: 2537). Keimanan yang kukuh adalah kunci perpaduan sejati dalam masyarakat.