Kuala Lumpur, 16 Julai 2020 – Setelah dua bulan tertunda akibat krisis wabak Covid-19,
akhirnya keputusan rasmi ‘Pencarian Hero Remaja 2020’ telah diumumkan menerusi episod
istimewa pentas akhir bertemakan ‘Gentleman’ yang disiarkan secara langsung di saluran Astro
Ria HD (104), Astro Ria (124) dan aplikasi Astro GO malam tadi. Mengikut perancangan asal,
episod tersebut sepatutnya disiarkan pada 16 April yang lalu. Namun, ia terpaksa ditangguhkan
bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh pihak
kerajaan.
NADHIR, 24, atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Bin Ahmad Nasar dinobatkan sebagai juara
‘Hero Remaja 2020’ mengenepikan saingan sengit empat finalis akhir lain, sekaligus membawa
pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi dan selempang.
Kedudukan di tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh finalis akhir UMAR (22, Johor) dan
MEERQEEN (19, Selangor), masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000
beserta trofi dan selempang. Manakala JABIR (20, Selangor) dan HAZIQ (23, Kuala Lumpur)
yang berada di tempat keempat dan kelima juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila
turut menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan selempang.
Selain itu, ANIQ (20, Selangor) pula menerima gelaran ‘Hero Confident Nivea Men’ untuk edisi
kali ini. Manakala IMRAN (21, Kuala Lumpur) pula dipilih sebagai ‘Hero Inspirasi’.
Untuk makluman, paparan rakaman program ‘Pencarian Hero Remaja 2020’ sebanyak tujuh
buah episod mula disiarkan pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam bermula 27 Februari yang
lalu. Untuk penganjuran edisi ke-10 ini, seramai 12 finalis telah terpilih dan diuji dengan
pelbagai cabaran intensif untuk mengasah kemampuan dan skil mereka daripada aspek
berbeza.
Manakala untuk pusingan finale di episod kelapan yang disiarkan malam tadi, keputusan akhir
adalah bergantung kepada persembahan individu yang dinilai menerusi segmen tugasan video
khas pesanan khidmat masyarakat berdasarkan topik semasa serta ketangkasan cara menjawab
dan skil berkomunikasi sewaktu segmen sesi soal jawab bersama panel juri profesional.
Mengulas lanjut mengenai Pentas Akhir ‘Pencarian Hero Remaja 2020’, Emarina Mohd Kamal
selaku pengurus saluran Astro Ria dan Astro Ria HD amat berbesar hati dengan kepercayaan
penuh yang diberikan oleh pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. menerusi pelbagai kerjasama strategik
yang telah lama terjalin sebelum ini.
“Selaku penganjur bersama, kami gembira dan berasa lega kerana akhirnya penganjuran edisi
ini dapat disempurnakan dengan cukup baik sungguhpun terpaksa berdepan dengan pelbagai
cabaran ekoran situasi ‘unik’ yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat penularan wabak
Covid-19. Kekangan yang dihadapi tidak sedikitpun melunturkan semangat kami untuk berfikir
di luar kotak bagi memastikan kualiti kandungan yang diterbitkan tidak terjejas. Episod pentas
akhir malam tadi juga berlangsung penuh meriah walaupun terikat dengan syarat SOP yang
ketat. Syabas kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan penganjuran musim ini.
Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Nadhir selaku ‘Hero Remaja 2020’ serta kesemua
finalis akhir kerana berjaya mara ke pusingan finale. Selamat datang ke dunia hiburan!”
Dalam pada itu, Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan Remaja juga turut berpendapat,
“Sudah 30 tahun jenama Hero Remaja menghiasi dan menyerikan industri seni tanah air.
Sepanjang tempoh itu telah ramai personaliti berbakat dan popular lahir dari pencarian Hero
Remaja ini. Gelaran tersebut harus digunakan sebaik-baiknya sebagai tiket untuk lebih berjaya.
Sandang gelaran ini dengan baik dan sentiasa merendah diri, bak kata pepatah ikut resmi padi
semakin berisi semakin tunduk.”
Pentas akhir ‘Pencarian Hero Remaja 2020’ turut menyaksikan Ain Edruce dan Awal Ashaari
digandingkan bersama sebagai pengacara program. Dua juri tetap yang dilantik untuk mengadili
penganjuran edisi kali ini ialah Dewi Remaja 2005/06; Scha Alyahya dan Datuk Hans Isaac.
Manakala, personaliti ‘triple threat’ pengarah, pelakon dan penyanyi, Yusry Abdul Halim telah
diundang khas untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri jemputan.
Untuk makluman, ‘Pencarian Hero Remaja 2020’ juga cukup aktif menerusi platform digital.
Majalah Remaja selaku penganjur dan media rasmi pencarian telah menyusun pelbagai cabaran
dan aktiviti bersama barisan finalis untuk meneruskan momentum mereka sepanjang ketiadaan
rancangan berepisod di televisyen. Hasilnya, impak positif dapat dilihat pada profil media sosial
kesemua finalis apabila jumlah pengikut dan interaksi bersama pengikut bertambah kuat; selari
dengan status mereka sebagai personaliti generasi baharu.
#HeroRemaja #HeroRemaja2020 #majalahremaja
TAMAT