(DIKEMASKINI) SHAH ALAM: Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian Datuk Abd Jalil Ali meninggal dunia pagi ini.
Berita tersebut disahkan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menerusi laman Twitter beliau.
Menurut beliau, setakat jam 7.08 pagi, jenazah Abdul Jalil masih berada di hospital.
Jenazah dijangka dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Sementara itu, anak Allahyarham, Haikal Jalil dalam Facebooknya turut mengesahkan bapa beliau meninggal dunia pada pukul 6.32 pagi ini.
Kehilangan Sebutir Permata Dunia Kewartawanan
Abd Jalil berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.
Selain menjadi penasihat dan kolumnis di Sinar Harian, Abd Jalil juga adalah Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.
Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Nama: Datuk Abdul Jalil Ali
Lahir: 28 Februari 1954
Isteri: Sharifah Nooraiya Syed Hassan
Anak: 4 orang
Asal: Kampung Sungai Jaya, Bukit Gambir, Muar
Pekerjaan / Pengalaman:
Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF)
Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah
Novelis
Setelah tamat SPM di tahun 70an, Abd Jalil menyertai syarikat akhbar Utusan Melayu dan menimba pengalaman di beberapa syarikat akhbar dan majalah lain sekitar Kuala Lumpur untuk beberapa tahun.
Kemudian bermula 1991, beliau menyertai Karangkraf dan menyumbangkan banyak jasa kepada syarikat penerbitan Melayu ini dan memberikan dedikasi kerja beliau sehingga ke nafas terakhir.
Daripada penghasilan akhbar kepada majalah berbahasa Melayu, beliau tidak pernah gagal memberikan idea yang menepati selera pembaca dalam pendekatan bersahaja yang selalu diamalkan oleh beliau.
Beberapa majalah yang mempunyai garapan idea dan sumbangan kreativiti beliau di bawah nama Grup Majalah Karangkraf (yang kini dikenali sebagai Nu Ideaktiv) masih boleh didapati dan kekal sehingga ke hari ini.
Antaranya majalah Mingguan Wanita, Keluarga, Pesona Pengantin dan semasa hayatnya beliau terus menyumbang artikel dan cerpen penulisan meskipun tugas hakiki beliau pada waktu itu adalah di penerbitan akhbar Sinar Harian.
Abd Jalil juga menerbitkan banyak novel dan buku motivasi yang menjadi kegilaan peminatnya sehingga ada yang menggelarkan beliau sebagai ‘hero malaya’.
Menerusi penulisan bersahaja namun ‘kena’ pada maksudnya, penulisan anak kelahiran Johor ini pasti akan dirindui dan jasa beliau dalam dunia kewartawan dan media akan dikenang selamanya.
Karya:
Dari Menara KL
Asam, Garam, Gula & Kopi
Cendol Pulut Santan Lebih
Kopi O Tanpa Gula
Teh Tarik Kurang Manis
Asam Pedas Sirap Bandung
(Serta banyak lagi cerpen, drama radio, skrip tv & filem)
Nama samaran: Boonlert Pratchal, Jasnilara, Abdjal S.E, Ila Lilaj, Mimi Hamidah
Semoga Allahyarham Datuk Abdul Jalil Ali ditempatkan di dalam kalangan para solihin dan orang-orang yang beriman. Damailah dikau kini di sana. Al-Fatihah (dengan bacaan).
Baca artikel berkaitan: