RichWorks & Astro Jalin Kerjasama Strategik : Transformasi360 Permulaan Perjalanan Cipta Impak Lebih Luas

Syarikat pembangunan potensi diri dan keusahawanan terkemuka negara, RichWorks Academy Sdn. Bhd. (RichWorks Academy), hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat penyiaran utama negara, Astro bagi memperluas impak program-program pembangunan diri dan keusahawanan ke seluruh negara.

Perjanjian ini menyatukan kepakaran RichWorks dalam melatih lebih 2 juta individu dan usahawan sejak 2008, dengan kekuatan platform penyiaran dan digital Astro, yang mempunyai capaian luas merentasi pelbagai saluran termasuk TV, radio dan digital.

Menurut Pengasas dan Presiden RichWorks Academy, Prof. Datuk Wira Dr Azizan Osman, kolaborasi tersebut merupakan satu langkah besar dalam mencapai misi membantu lebih ramai rakyat Malaysia, terutama yang masih mencari jalan keluar dari tekanan hidup dan cabaran kewangan yang berpanjangan.

RichWorks & Astro Jalin Kerjasama Strategik :  Transformasi360 Permulaan Perjalanan Cipta Impak Lebih Luas

“Kami percaya bahawa setiap insan mampu berubah, asalkan mereka diberikan peluang dan bimbingan yang betul. Dengan sokongan Astro, kami yakin mesej perubahan ini dapat sampai kepada lebih ramai orang, bukan hanya di bandar, tetapi juga ke kawasan luar bandar.

“Melalui gabungan kekuatan kandungan, komuniti dan penyiaran, lebih ramai individu dapat bangkit dan keluar dari zon selesa untuk membina kehidupan yang lebih bermakna dan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Azizan, perjanjian selama dua tahun ini bakal membuka ruang untuk pelbagai program pembangunan kendiri dan ekonomi rakyat diperkenalkan kepada jutaan rakyat Malaysia melalui pendekatan pendidikan yang lebih segar, relevan dan mudah diakses.

“Sebagai langkah pertama di bawah kolaborasi ini, program pembangunan diri, Transformasi360 yang turut menggunakan pendekatan AI (Artificial Intelligence) untuk membantu peserta mengenal pasti potensi dan kekuatan diri, akan dilaksanakan pada 10 hingga 12 Mei depan.

“Transformasi360 bukan sekadar seminar motivasi, sebaliknya ia adalah satu pengalaman mendalam untuk peserta menyusun semula kehidupan mereka dari segi emosi, kewangan, serta matlamat hidup,” jelasnya.

Selain Transformasi360, kerjasama ini juga akan merangkumi penglibatan dalam program Jelajah Jiwa SME, bertujuan untuk memperkasa usahawan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang dalam era digital. Melalui siri ketiga Jelajah JIWA SME tahun ini, para peserta akan mendapat pendedahan kepada strategi, latihan, dan rangkaian sokongan yang lebih meluas.

RichWorks & Astro Jalin Kerjasama Strategik :  Transformasi360 Permulaan Perjalanan Cipta Impak Lebih Luas

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro, Dr Grace Lee, menyatakan komitmen syarikat dalam memperkukuh impak sosial melalui kandungan dan kerjasama bermakna seperti ini.

“Astro komited untuk menjadi platform yang bukan hanya menghibur, tetapi juga memperkasa. Kolaborasi dengan RichWorks adalah sejajar dengan usaha kami untuk menyokong pembangunan masyarakat melalui pendidikan, inspirasi dan peluang keusahawanan.

“Astro akan memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej dan kandungan program melalui platform penyiaran dan digital kami. Ini termasuk promosi, liputan media, serta kolaborasi aktivasi bersama saluran radio dan televisyen kami,” ujarnya.