Shaza Bae Dinobatkan Sebagai Juara Dewi Remaja 2019

Sekian lama menanti debaran siapakah yang akan dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2019 bagi menggantikan Raysha Rizrose yang memenanginya pada tahun 2014/2015, ternyata malam ini menjadi milik Shaza Bae.

Di hadapan para juri profesional yang mengadili iaitu Scha Al Yahya, Yusry Abdul Halim, Datuk Haji Aznil Haji Nawawi dan Dr Soo Wincci, Shaza Bae dikalungkan dengan gelaran tersebut secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Shaza Bae dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2019

 

Saat pengacara, Amelia Henderson dan Kamal Adli (Hero Remaja 2007/2008) memberikan penghormatan untuk Scha Alyahya mengumumkan Shaza Bae sebagai juara, graduan Universiti Malaya itu tidak dapat menahan air mata kegembiraan.

Selain gelaran juara Dewi Remaja 2019, Shaza juga menerima wang tunai sebanyak RM10,000, sebentuk tiara dan trofi selaku pemenang.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Adriana Ghafar yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM7000 dan trofi manakala tempat ketiga disandang oleh Nynaa Harizal yang menerima wang tunai sebanyak RM5000.

Tempat keempat dimenangi oleh Syamira Izzati dan tempat kelima jatuh kepada Shatirah Amanda.

Sementara itu, kategori Dewi Inspirasi jatuh kepada Nina Amin yang dipilih berdasarkan nilai semangat dan mampu menjadi inspirasi buat remaja di luar sana. Gelaran Dewi Favourite pula dimenangi oleh wakil tunggal dari Sabah, Sharlina Gilbert Mojinun hasil undian peminatnya di laman web Majalah Remaja.

5 finalis terpilih ke peringkat akhir dan tuah menyebelahi Shaza Bae (tengah).

 

Penganjuran kali kesebelas Dewi Remaja menampilkan jenama telekomunikasi pilihan ramai redONE selaku rakan telekomunikasi dan NUViT Malaysia sebagai penaja bersama.

Malam kemuncak Dewi Remaja 2019 dihadiri oleh alumni keluarga Dewi Remaja seperti Pushpa Narayan (2002/13), Datin Rebecca Nur Al-Islam (2005/06) Ramona Zam-Zam (2009/10) dan Raysha Rizrose (2014/15).

Turut kelihatan ialah finalis Dewi Remaja seperti Natrah Khalid, Fify Azmi, Arena Wan, Anna Jobling, Zeera Azizi serta finalis Hero Remaja 2017; Farhan Asri, Ikmal Amry dan Safwan Nazri.

Bagi yang terlepas mengikuti apa yang berlaku sepanjang Pencarian Dewi Remaja 2018/2019, kunjungi laman web www.remaja.my/dewiFacebook [@majalahremaja] dan Instagram [@majalahremaja].

 

Sumber: Remaja.my